DIDIK DENGAN TEKNIK NABI
Maju mundur sesebuah bangsa
itu bergantung kepada ilmu. Bangsa yang mendaulatkan ilmu kerohanian sebagai
makanan pada setiap masa pagi, petang
dan malam – nescaya akan menjadi bangsa yang disegani dan ditakuti oleh kawan
dan lawan.
Banyak tamadun-tamadun yang
hebat dan berjaya di dunia ini belum tentu selamat untuk memperolehi kebahagian
di akhirat. Tamadun-tamadun Islam itu berjaya adalah kerana hasil ibadah yang
bersumberkan iman.
Tanpa iman, manusia tidak
mengerjakan ibadah. Dan tanpa ibadah, manusia tidak faham erti ‘kehambaan’ kepada
ALLAH SWT, Tuhan penciptanya. Tanpanya manusia akan mengikut hawa nafsu dan
syaitan.
Manusia cenderung menghasilkan
tamadun ia sendiri, iaitu tamadun yang rosak dan tidak kekal serta rosak &
merosakkan. Tamadun itu terbit dari perasaan tamak haloba dan mementingkan diri sendiri.
Demikianlah produk yang
dihasilkan oleh Sistem Pendidikan di seluruh dunia pada hari ini. Sistem
Pendidikan ini lah yang bertangungjawab mencorak Tamadun kini yang membuatkan
manusia jauh dengan Allah swt & Rasulullah saw. Pastinya kita tidak
mendapat imbalan pahala akhirat sebab ia bercanggah dengan ‘Lima(5) Syarat-Syarat Ibadah’:-
1) Niat Mesti Betul
2) Perlaksanaan Mengikut Peraturan Syariat
3) Perkara/Subjek mesti Dibolehkan oleh
Syariat.
4) Natijahnya memberi Manfaat
5) Tidak Meninggalkan Ibadah Asas.
1) Niat Mesti Betul
2) Perlaksanaan Mengikut Peraturan Syariat
3) Perkara/Subjek mesti Dibolehkan oleh
Syariat.
4) Natijahnya memberi Manfaat
5) Tidak Meninggalkan Ibadah Asas.
Apa kesilapan dasar pendidikan
hari ini sehingga tidak menghasilkan produk sepertimana Sistem Pendidikan
Rasulullah? Kerana telah jelas dan nyata, Rasulullah SAW berjaya mengeluarkan
produk yang dikatakan, “Menjadi Abid (hamba Allah) di malam hari,
dan menjadi Singa (khalifah Allah) di siang hari”.
Apa kelebihan cara Rasulullah
itu? Apa matlamat, dasar dan kaedah pendidikan yang digunapakai oleh Rasulullah
SAW sehingga menghasilkan masyarakat contoh yang terbaik di kalangan semua umat
manusia.
Apa kelemahan dan kekurangan
yang terdapat pada Sistem Pendidikan pada masa kini – yang sentiasa
berubah-ubah dan tidak konsisten itu? Sehingga kita merasakan anak-anak kita
sebagai bahan kajian mereka.
Untuk itu, pertama-tama sekali
kita harus memahami terlebih dahulu apa itu dikatakan ‘Rasul’.
A) PENGERTIAN RASUL
Rasul itu Utusan ALLAH,
bertangungjawab membawa syariat ALLAH kepada manusia.
Hakikat tugas Rasul adalah ‘Mengajar, Mendidik dan Memimpin’. Mengajar menyemat ilmu di akal fikiran muridnya. Mendidik pula melibatkan
hubungan/jalinan/hubungan hati diantara murid dengan gurunya.
Di dalam soal memimpin, anak murid wajib
patuh kerana apa gunanya pemimpin jika
murid tidak boleh diatur dan diarah-arahkan. Jika anak murid tidak
meletakkan ketaatannya kepada guru yang memimpin, maka sistem pendidikan itu
akan terbantut, tidak konsisten dan istiqamah. Kerana itu guru yang menjadi
pemimpin tersebut mesti ada hubungan hati yang kuat dengan Allah swt dan
Rasulullah saw
Perkara 3M ini mestilah
dibuat serentak kerana ia saling berkaitan dan bantu membantu dalam menjayakan
perjuangan menegakkan syariat ALLAH di muka bumi.
Diantara 3 perkara tersebut, Mendidik (Didik &
Asuh) adalah yang terpenting dan sukar dilaksanakan. Tiada ertinya mengajar kalau yang mendengar
itu tidak boleh dididik & diasuh dan berbuat dengan apa yang kita ajar.
Untuk mengajar sesuatu supaya
ilmu itu masuk ke dalam hati pelajar
itu, ia perlu dibimbing, didorong dan
diawasi sepanjang masa. Itulah dikatakan mengasuh dan mendidik ataupun Tarbiah.
B) MATLAMAT/TUJUAN
PENDIDIKAN DALAM ISLAM
Ada dua(2) matlamat pendidikan dalam
Islam. Iaitu untuk melahirkan insan yang berjiwa taqwa dan untuk melahirkan insan-insan yang
sanggup bekerja sebagai khalifah (duta) ALLAH. Ini adalah berdasarkan 2 firman ALLAH SWT yang
bermaksud;
i)
“Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk
menyembah Aku”. (Az Zariat: 56)
ii) “Sesungguhnya Aku akan menjadikan di muka bumi seorang
khalifah”. (Al Baqarah: 30).
Ayat pertama menegaskan iaitu
tujuan ALLAH menjadikan manusia ialah untuk menjadi seorang hamba ALLAH yang
hidupnya hanya untuk menyembah dan mengabdikan seluruh hidup
kepada ALLAH semata. Melaksanakan seluruh perintah (hukum-hakam) ALLAH
dalam semua aspek kehidupan manusia, dan menghindari diri dari semua
larangan-Nya.
Manakala ayat kedua sebagai
khalifah ALLAH bermaksud, untuk melahirkan insan-insan yang sanggup bekerja
sepenuh masa dengan kerajaan ALLAH untuk membangunkan syariat ALLAH dan melaksanakan
tugas yang diamanahkan oleh ALLAH.
Gabungan diantara dua maksud
tersebut maka lahirlah ungkapan yang masyhur iaitu, “Menjadi Abid di malam
hari, dan menjadi singa ALLAH di siang hari”.
Abid berperanan sebagai hamba
ALLAH yang sebaik-baiknya. Singa berperanan sebagai khalifah ALLAH yang
sebaik-baiknya.
Maka, dalam usaha memproses
manusia menjadi hamba dan khalifah ALLAH sekaligus, maka Sistem Pendidikan
hendaklah menjurus ke arah itu.
C) BAGAIMANA PROSES
PENDIDIKAN YANG DIGUNAKAN OLEH RASULULLAH SAW.
Proses Pendidikan yang
digunakan oleh Rasulullah SAW untuk melahirkan manusia-manusia berwatak ‘Abid
di malam hari dan Singa di siang hari’ adalah melalui dua peringkat pendidikan,
iaitu:-
a) Peringkat satu; Pembangunan Insan di Makkah.
b) Peringkat dua; Pembangunan Material di
Madinah.
Peringkat pertama mengambil
masa lebih kurang 13 tahun, dan peringkat kedua pula 10 tahun. Jumlahnya 23
tahun untuk mencapai kesempurnaan. Perlu diingat bahawa sepanjang berlakunya
pembangunan material itu, proses pembangunan insan tetap berjalan. Sebab, insan
sentiasa perlu dibangunkan kerana ia mudah lupa apabila berhadapan dengan
nikmat dunia atau pembangunan material yang mencabar.
Untuk mendidik insan, Al Quran
mempunyai ayat-ayat khusus yang disebut ayat-ayat Makkiyah. Iaitu ayat-ayat
mengenai keimanan kepada ALLAH, kepada Hari Qiamat dan lain-lain.
Dengan ayat-ayat yang demikian
itu fikiran dan jiwa insan akan menjadi yakin dengan ALLAH, serta cinta dan
takut kepada-Nya. Juga yakin dengan Hari Qiamat, bahkan sangat membesarkan dan
mengutamakan kehidupan di Alam Akhirat dan cinta dengan Syurga.
Dalam pada itu, ayat-ayat
Makkiyah akan menjadikan insan takut dengan azab kubur, azab neraka dan
kedahsyatan Padang Mahsyar.
Itulah iman. Yakni rasa hati yang cintakan ALLAH,
gerun dengan Neraka, dan rindu dengan Syurga di Akhirat.
Bila fikiran dan jiwa terisi
dengan keyakinan begitu, maka manusia akan takut dengan dosa dan berlumba-lumba
untuk beramal soleh dan berakhlak mulia.
Peringkat pembangunan
seterusnya ialah Pembangunan Material. Jiwa-jiwa yang telah dibangunkan dengan
Iman dan Islam, rela berkorban untuk menjayakan Tamadun dan
Kebudayaan Islam di atas tauhid yang sejati.
Tidak ada lagi curi tulang,
tuang kerja, rasuah, tidak amanah, tidak jujur dan lain-lain serta yang lebih
berat ialah mengkianati agama, bangsa dan negara.
D) DASAR PENDIDIKAN
YANG DIAMBIL OLEH RASULULLAH SAW.
Daripada dua(2) proses
Pembangunan Insan dan Pembangunan Material di atas, yang lebih ditekankan ialah
Pembangunan Insan. Malah, ia menjadi dasar pendidikan yang pertama dan utama
sekali diambil perhatian oleh Rasulullah SAW sebelum Pembangunan Material.
Kesimpulannya,
individu-individu yang hidup dalam sistem jahiliah perlu diubah terlebih dahulu
kepada peribadi-peribadi soleh dan solehah, sebelum digerakkan untuk menjalani
sistem hidup Islam sepenuhnya.
Matlamat Pembangunan Insan ini
ialah untuk melahirkan orang-orang yang membangunkan Al Quran dan Sunnah dalam
setiap aspek kehidupan tanpa mengharapkan apa-apa upah. Mereka berjuang
menegakkan tamadun dan empayar Islam dengan tujuan untuk menyelamatkan manusia
dan dunia amnya daripada sebarang kekejaman dan kemusnahan.
Keuntungan yang diharapkan
bukan kekayaan dan kekuasaan, tetapi keredhaan ALLAH dan keampunan-Nya. Itu
baharulah bertepatan dengan gelaran – hamba dan khalifah ALLAH yang bersifat
global.
Dengan kata lain, sistem
pendidikan yang dilaksanakan oleh Rasulullah berjaya mengubah fikiran, jiwa dan
fizikal manusia sehingga berjaya mencetuskan zaman kegemilangan tamaddun
manusia.
Itulah rahsia kejayaan
Rasulullah dalam melahirkan generasi contoh, dan membina sebuah negara yang
cukup indah sehingga mendapat pujian ALLAH dengan firman-Nya; Negara
yang aman makmur dan mendapat keampunan ALLAH. (As Saba’: 15)
E)
KAEDAH YANG DIGUNAPAKAI OLEH RASULULLAH SAW.
Rasulullah SAW menggunakan
pendekatan Pendidikan Informal, iaitu suatu bentuk pendidikan tidak rasmi. Ia
berlaku pada sebarang tempat, pada sebarang waktu dan pada sebarang orang,
tidak kira kecil atau besar, tua atau muda.
Rasulullah memberi keutamaan
kepada pendidikan informal daripada pendidikan formal (rasmi) kerana kaedah
informal lebih berkesan, praktikal dan memberi hasil yang cepat dan konkrit.
Manakala pendidikan formal hanya menambahkan teori-teori yang jarang
dipraktikkan.
Sistem Pendidikan Rasulullah
ini kelihatan mempunyai maksud untuk melahirkan manusia yang
mengamalkan ilmu. Baginda tidak
menekankan ilmu yang tinggi atau ilmu yang banyak, sebaliknya memberi keutamaan
kepada pengamalan ilmu.
Dalam hal ini, Rasulullah SAW
ada bersabda, “Barangsiapa beramal dengan
ilmu yang ia tahu, ALLAH akan pusakakan kepadanya ilmu yang dia tidak tahu.” (dikeluarkan oleh Abu Nuaim).
Sehubungan dengan itu, guru
mesti menjadi contoh yang baik terhadap anak-anak muridnya. Sikap dan cakap
guru sepanjang masa di dalam pergaulannya dengan murid-murid mesti bersifat
mengajar dan mendidik. Kiranya berlaku hal yang sebaliknya, ertinya guru itu
sudah mengagalkan matlamat pendidikannya supaya anak-anak muridnya beramal
dengan ilmu yang mereka perolehi.
Sistem pendidikan Rasulullah
tidak memberi penekanan kepada menghafal, mengingat dan menulis kembali ilmu
tetapi lebih kepada pengamalan ilmu tersebut setelah dibaca & diajar. Produk sistem pendidikan sekular ialah sijil & kelulusan sedangkan
produk sistem pendidikan Rasulullah SAW adalah TAQWA. Ukuran takwa ialah pada akhlak dan amal soleh. Takwa itulah nilai tertinggi
bagi seseorang yang menuntut ilmu kerana ALLAH. Seperti kata pepatah, “Jadilah
seumpama padi, semakin berisi semakin tunduk. Jangan jadi seperti lalang, semakin
tinggi semakin menyucuk.
Dengan kaedah-kaedah di atas, pelajar yang lahir dari sistem pendidikan Rasulullah ialah orang yang
terus beramal, bekerja dengan ilmu yang ia dapat, bukan kerana gaji tetapi
kerana ALLAH. Ertinya mereka
bekerja dengan penuh tanggungjawab, bersih daripada dosa dan maksiat, dan
selamat daripada mengharapkan sebarang kepentingan duniawi atau pribadi.
F) PENDEKATAN
YANG DIGUNAKAN UNTUK MEMAHAMKAN ORANG TENTANG ISLAM
Lain orang lain kekuatan
akalnya. Tentunya lain pulalah pendekatan yang digunakan untuk memahamkan orang
tentang Islam. Seperti contoh, kalau ia seorang budak kecil, kita sebagai guru
hendaklah berlakon sebagai budak kecik juga, supaya dia mudah faham.
Demikianlah pendekatan
pendidikan Rasulullah apabila berhadapan dengan umat-umatnya. Hal ini selaras
dengan firman ALLAH SWT, “Serulah kepada Tuhanmu secara hikmah dan
pengajaran yang baik, dan berhujah dengan mererka secara yang baik”. (An
Nahl: 125).
Dalam menunaikan tuntutan
hikmah dan bijaksana itu, Rasulullah membahagikan golongan yang menjadi sasaran
dakwah dan pendidikan kepada 3 kategori, iaitu:-
a) Golongan
Khawas (istimewa),
b) Golongan
Awam, dan
c) Golongan
Degil.
a) Golongan
Khawas (istimewa) ialah
orang-orang yang menerima kebenaran hanya apabila ia disampaikan dengan hujah
yang tepat, jelas dan benar. Mereka adalah golongan bijak pandai, cerdik dan
berilmu. Mereka hanya akan menerima sesuatu kalau ada dalilnya.
Untuk menghadapi mereka,
Rasulullah menggunakan susunan perkataan yang mengandungi hukum yang sahih dan
dalil yang terang serta hujah-hujah yang tepat. Hingga dengan itu hilanglah
keraguan mereka, bahkan mererka melihat Islam begitu tinggi nilai kebenaranya;
mengatasi pegangan-pegangan yang lain.
b) Golongan
Awam pula tidak
memerlukan hujah yang ilmiah dalam menerima kebenaran, kerana fikiran mereka
tidak diragukan oleh berbagai-bagai persoalan. Golongan awam cukup dengan
melihat kebaikan yang ada untuk dibuat pegangan hidup.
Kerana itu Rasulullah
mendekati mereka dengan nasihat yang baik. Iaitu dengan mendatangkan iktibar
yang memuaskan hati atau yang memberi pengajaran, pendidikan serta persoalan-persoalan
yang memberi manfaat.
c) Golongan
Degil ialah golongan
yang mempunyai rasa tidak senang dengan sesuatu. Untuk mendekati mereka,
Rasulullah mengajak mereka berdailog tentang hal-hal yang tidak disenangi itu.
Dialog itu dibuat dengan sebaik-baiknya,
mudah dan lemah lembut. Hujah-hujahnya adalah hujah logik yang boleh diterima
akal, demi memadamkan hujah yang membuat hati mereka tidak senang dengan Islam.
Hasil dialog membolehkan mereka menerima perintah-perintah ALLAH. Kalaupun
mereka tidak boleh terima, mereka sudah tidak ada hujah lagi untuk menolaknya.
Contoh hujah sepertimana firman ALLAH, “Katakanlah, kemukakanlah 10
surat yang diada-adakan itu yang menyamai Al Quran. Dan panggilah siapa-siapa
yang kamu sanggup selain ALLAH, kalau kamu memang orang-orang yang benar”.(Hud:
13)
Demikianlah 3 pendekatan yang
digunakan oleh Sistem Pendidikan Rasulullah. Dan ianya dibuat dengan cara
penyampaian yang berbagai-bagai pula, samada dengan menjawab
soalan, mengaju sendiri soalan dan menjawabnya pula atau membuat
bandingan dan lain-lain. Segala-galanya dibuat untuk lebih menarik perhatian
dan kefahaman. Dan biasanya, percakapan Rasululah itu tepat, ringkas, padat dan
tidak menjemukan.
G) SUMBER
AMBILAN PENDIDIKAN RASULULLAH SAW.
Seperti dimaklumi, pendekatan
yang digunakan oleh Rasulullah ialah Pembinaan Insan. Sebab tanpa pembinaan
insan (iman dan akhlak), pembinaan material akan melahirkan masyarakat yang
tempang dan pincang. Keadilan, keamanan dan kebahgiaan hidup masyarakat akan
hilang.
Dengan itu, sumber utama
Rasulullah untuk mendidik jiwa dan rohani manusia ialah dengan Al Quran dan
Hadis. Sebab ALLAH yang mencipta manusia, ALLAH jugalah yang tahu bagaimana
untuk membaiki dan mendidik hati-hati manusia.
Langkah-langkah pendidikan
yang diambil dari Al Quran dan Hadis untuk mendidik akhlak, jiwa dan fikiran
manusia :-
1) Mendidik
jiwa tauhid agar tumbuh rasa kehambaan yang tinggi terhadap ALLAH SWT. Ini
dibuat dengan membawa manusia berfikir tentang kebesaran ALLAH, kuasa ALLAH,
kehebatan ALLAH, kebaikan ALLAH, rahmat ALLAH serta nikmatnya.
2) Mendidik
hati agar rasa rindu dengan Syurga ALLAH, rahmat ALLAH, keampunan ALLAH,
bantuan ALLAH dan lain-lain. Ini dilakukan dengan menyebut khabar-khabar
gembira (tabsyir) tentang perkara-perkara tersebut.
3) Mendidik
iman dan taqwa di hati agar manusia berasa gerun dengan Neraka dan azab ALLAH,
serta ugutan-ugutan dan kemurkaan ALLAH. Hal ini didapati dengan menyebut
perkara-perkara yang menakutkan manusia (tanzir).
4) Mendidik
manusia agar melakukan amal soleh dan berakhlak mulia. Untuk itu, Al Quran
banyak menceritakan sejarah hidup para nabi, rasul dan orang-orang soleh agar
menjadi panduan kepada manusia dalam menjalani kehidupan sebenar.
5) Mendidik
manusia agar menghindari sifat-sifat jahat dan agar selamat daripada api
Neraka. Maka diceritakan perihal orang-orang jahat atau musuh ALLAH seperti
Firaun, Namrud, Qarun, Haman, dll.
6) Mendidik
manusia agar memiliki sikap hidup yang khusus sebagai seorang Islam, agar
selamat di dunia dan di Akhirat. Maka Al Quran mengajar tentang syariat atau
hukum-hakam ALLAH. Ada perkara haram dan makruh yang perlu dijauhi. Ada perkara
wajib dan harus yang perlu dibuat.
H) AKHLAK
RASULULLAH SEBAGAI CONTOH IKUTAN.
Rasulullah SAW mendidik dengan
sikap dan akhlak. Apa yang baginda cakapkan, baginda laksanakan.
Inilah rahsia pendidikan yang
cukup penting, iaitu guru melaksanakan dahulu sebelum diajar kepada
murid-murid. Sebagaimana perintah ALLAH, “Wahai orang-orang yang
beriman, mengapa kamu mengatakan sesuatu yang kamu tidak berbuat. Amat besar
kebencian di sisi ALLAH bila kamu mengatakan apa yang tidak kamu lakukan”. (As
Saff: 2-3)
ALLAH marah dan benci pada
seseorang yang pandai bercakap tapi tidak berbuat. Kerana sikap itu akan
mempersia-siakan ilmu. Baginda akan membuat orang yang diajar pun bersikap sepertinya.
Jangan hanya berbangga dan popular dengan syarahan ilmu yang dimiliki tetapi
tidak mengamalkannya.
Ini bertentangan dengan
kehendak Al Quran dan Sunnah itu sendiri. Sebab pendidikan Islam itu
mengajarkan cara hidup yang mesti ditegakkan dalam realiti kehidupan, kerana
Islam itu ‘Cara Hidup’ (Dinulhayah). Bagaimana hendak dikatakan cara hidup, kalau semua ilmu Islam setakat
di akal fikiran (teori, seminar, kertas kerja, syarahan semata), bukan
dilaksanakan secara praktis dalam semua aspek kehidupan.
Rasulullah SAW telah
membuktikan tentang praktikalnya Al Quran, sekaligus memberi contoh tentang
cara hidup Islam yang diperintahkan oleh ALLAH SWT. Sikap dan akhlak baginda
itu dicontohi dan dikuti oleh para sahabat. Mereka pelajari di kala Rasulullah
bersama-sama mereka. Sembahyang berjemaah, makan sedulang, tidur sebantal.
Duduk tidak pernah tinggi daripada sahabat, pakaian tidak berbeza dengan
sahabat. Baginda bercakap, berbincang dan bermesra bahkan bergurau dengan
sahabat.
Dengan kebenaran dan keindahan
Islam yang begitu menarik hati, yang kelihatan pada diri Rasulullah,
sahabat-sahabat berlumba-lumba untuk mencontohi Rasulullah dalam apa juga yang
baginda lakukan. Rasulullah benar-benar satu figure yang dicintai, dikagumi,
dirindui dan dicontohi setiap perilakunya.
Kerana benar dan baiknya sikap
dan akhlak Rasulullah itu, maka para sahabat rela hidup semati bersama
Rasulullah. Apa kata Rasulullah, ditaati sepenuh hati. Bahkan mereka sanggup
mati demi mempertahankan dan melindungi Rasulullah.
Dengan itu, setiap hukum-hakam
ALLAH yang disampaikan pada mereka, bukan saja mereka dengar dan patuh, bahkan
mereka perjuangkan dengan rela hati sebagai cita-cita hidup. Dan mereka
berkorban apa saja hingga rela terkorban segala-galanya demi untuk ALLAH dan
Rasul.
Itulah hasil didikan melalui
sikap dan akhlak. Ia mampu membeli hati-hati manusia dan menyatukan hati-hati
itu dalam satu barisan yang teratur kukuh. Dan hati manusia tidak boleh dibeli
dengan wang, projek dan sebagainya. Sebagaimana firman ALLAH SWT, “Jika
kamu belanjakan seluruh kekayaan seisi bumi untuk menjinakkan hati manusia,
nescaya kamu tidak dapat melakukannya. Tapi ALLAH-lah yang menjinakkannya”. (Al
Anfal: 63)
KESIMPULAN:
Perkara diatas adalah siasah
yang wajib dalam Sistem Pendidikan Rasulullah. Satu-satunya sistem pendidikan
di dunia yang telah berjaya menegakkan Sistem Islam (hukum hakam Islam) dalam
kehidupan manusia sehingga meliputi 3/4 dunia. Siapa lagi yang hendak kita tiru
dan contohi kalau bukan kaedah yang nabi buat.
Jelasnya, kita manusia
bergelar umat moden abab ke 22 masih meraba-meraba mencari suatu kaedah
pendidikan yang boleh menjadikan menusia sebagai seorang hamba dan khalifah
ALLAH yang sebenar-benarnya.
Apa rahsia kejayaan Rasulullah
SAW sehingga berjaya membentuk manusia menjadi ‘sebagai Abid di malam
hari, dan pejuang ALLAH di siang hari’ itu?.
Tidak lain dan tidak bukan
ialah kerana Rasulullah mempunyai sahabat-sahabat seperjuangan yang
berhati ‘Zuhud’ dengan dunia. Hati mereka tidak terpaut
dengan dunia yang sementara. Kerana hati mereka terpaut dengan kehidupan Akhirat
yang kekal abadi. Kerana itu, mereka bertindak memperalatkan dunia untuk tujuan
memburu Akhirat, kerana ‘Dunia itu tanam-tanaman untuk ke akhirat’.
(hadis).
Dengan adanya sahabat-sahabat
Rasulullah yang berjiwa sedemikian, maka dengan mudah dan cepat Sistem Hidup
Islam atau hukum ALLAH itu tertegak dalam kehidupan masyarakat. Dengan iman dan
taqwa mereka cukup berani untuk memecah tradisi hidup jahiliah untuk digantikan
dengan Islam.
Amalan Islam yang adil,
berakhlak dan sesuai dengan fitrah manusia yang mereka amalkan membuatkan orang
ramai tertarik sehingga mendorong mereka masuk Islam serta turut sama
membangunkan cara hidup Islam.
Kejayaan sedemikian berpunca
daripada pendidikan insan (jiwa) yang menjadi keutamaan dalam proses pendidikan
Rasulullah SAW. Baginda mendidik hati agar zuhud dengan dunia, dan
sebagai gantinya baginda menanamkan rasa cinta kepada kehidupan akhirat.
Dengan adanya sifat zuhud maka
manusia tidak terhalang untuk melaksanakan dan memperjuangkan hukum-hakam ALLAH
dalam kehidupan manusia sejagat. Secara automatiknya, pembangunan fizikal turut
berlaku yang memungkinkan lahirnya Tamadun dan Kebudayaan Islam yang sebenar.
Tamadun dan budaya yang suci murni terbit dari hati hamba dan khalifah ALLAH
yang bertaqwa.
Inilah yang diberi pujian oleh
ALLAH SWT sebagai, “Negara yang aman
makmur dan mendapat keampunan ALLAH”.
Dan, sewajarlah mereka
mendapat bantuan ALLAH terhadap orang-orang kafir sebagaimana janji-Nya, “ALLAH menolong orang-orang yang bertaqwa”.
No comments:
Post a Comment