Nampaknya
dalam bidang pendidikan pihak-pihak yang berwajib masih teraba-raba dan masih
tercari-cari untuk mendapatkan formula yang terbaik dalam mendidik
pelajar-pelajar di sekolah. Keperluan ini bertambah penting memandangkan
disiplin para pelajar sekarang telah begitu merosot sehingga ramai yang
terlibat dengan gangsterisme, vadalisme, pergaduhan, budaya rock, budaya metal, skinhead,
penyalahgunaan dadah, melawan guru, membakar kereta guru bahkan ada
pelajar-pelajar yang sampai memukul dan mencederakan pelajar-pelajar lain.
Semakin
banyak dan semakin keras atau drastik tindakan yang diambil, nampaknya masalah
yang dihadapi semakin menjadi serius. Semakin lama masa berlalu, semakin banyak
kes-kes yang terbongkar.
Ada
pihak yang merasakan bahawa kesilapan ini terletak kepada sistem pelajaran kita
yang hanya mementingkan dan mengambil berat tentang pertumbuhan IQ (Intelligence Quotient) semata-mata.
Dalam sistem yang ada sekarang, kecerdasan minda atau IQ sahaja yang menjadi
indeks pengukur bagi menilai kecemerlangan seseorang pelajar. Pihak ini merasakan bahawa kecerdasan minda sahaja
tidak memadai. IQ hanya satu ukutan bagi menunjukkan kemampuan mental dalam
mengumpul ilmu dan menyelesaikan masalah teoritikal. Ia tidak menunjuk kepada
kualiti pelajar secara menyeluruh yang sepatutnya merangkumi lebih banyak ciri,
skop, bidang dan kriterianya.
Kalau
diteliti, kita akan dapati di dalam keputusan peperiksaan yang semakin baik,
akhlak, peribadi, jatidiri dan perilaku pelajar semakin buruk dan merosot.
Pasti ada sesuatu yang tidak kena. Terbukti bahawa pembinaan kecemerlangan para
pelajar tidak lengkap dan tidak menyeluruh. Peribadi pelajar yang terbina berat
sebelah dan tidak seimbang. Pihak ini merasakan ada lagi bentuk kecerdasan lain
yang mesti diambil kira iaitu EQ (Emotional
Quotient).
Mereka
merasakan IQ perlu diimbangi dengan EQ. Kecerdasan minda perlu diimbangi dengan
kecerdasan emosi. Kalau tidak, mereka merasakan emosi para pelajar akan mudah
terganggu dan pelajar akan bertindak mengikut emosi dan dorongan perasaan.
Dalam hal ini, kecerdasan minda tidak akan dapat berfungsi dengan baik.
Mereka
berkata lagi, apabila pelajar mempunyai EQ yang rendah atau kecerdasan emosinya
kurang, maka emosinya menjadi tidak stabil. Mereka akan bertindak mengikut
emosi dan mudah terjebak dengan vandalisme,
gangsterisme, keganasan atau mencederakan orang lain.
Di
dalam pendidikan Islam, perkara ini memang diambil kira. Malahan lebih dari itu
pun diambil kira. Tuhan menjadikan manusia mempunyai sifat batin yang
berbeza-beza itu.
Antaranya
adalah:
1.
Kekuatan akal
2.
Kekuatan perasaan
3.
Kekuatan jiwa
Dalam
istilah modennya, bolehlah dinamakan IQ (Intelligence
Quotient), EQ (Emotional Quotient)
dan SQ (Spiritual Quotient). Namun
tidak ramai guru-guru atau para pendidik yang benar-benar faham tentang
ketiga-tiga kekuatan ini dan bagaimana untuk mengendalikannya.
Setiap
orang mempunyai salah satu dari kekuatan di atas. Jarang ada manusia yang memiliki ketiga-tiga kekuatan
tersebut sekaligus kecuali para nabi dan para rasul. Orang yang mempunyai
kekuatan akal selalunya kurang mempunyai kekuatan jiwa dan kekuatan perasaan. Seterusnya,
sesiapa yang mempunyai kekuatan jiwa, maka dia kurang mempunyai kekuatan akal dan
kekuatan perasaan. Kalau seseorang itu mempunyai kekuatan perasaan pula, maka
kekuatan akal dan jiwanya pula berkurang.
Sifat,
watak dan bakat seseorang itu bergantung daripada kekuatan batin yang mana yang
ada padanya. Inilah punca utama dan terbesar mengapa berlaku perbezaan sifar,
watak dan bakat antara seseorang itu dengan orang lain.
Inilah
antara hikmah dan rahmat Tuhan dalam penciptaan manusia. Sifat, bakat, minat
dan kecenderungan manusia itu tidak sama dan berbeza-beza mengikut sifat dan
kekuatan batinnya. Ini sesuai dengan keperluan masyarakat manusia itu sendiri
yang juga tidak sama dan berbeza-beza. Yang kuat jiwa suka dan berbakat menjadi polis,
tentera, bertani, penternak dan nelayan. Yang kuat akal berbakat menjadi guru,
peguam, jurutera, saintis, doktor, dan teknokrat. Yang kuat perasaan pula
berbakat menjadi ahli seni, pekerja media, sasterawan dan sebagainya.
Dengan
kepelbagaian minat dan bakat ini maka masyarakat manusia menjadi lengkap, perlu
memerlukan dan kuat menguatkan. Masing-masing dengan tugas masing-masing,
berkhidmat sesama manusia dalam bidang yang berbagai-bagai. Takkanlah semua
pelajar hendak menjadi doktor, peguam, jurutera dan saintis sahaja. Kalau
begitu, pincanglah masyarakat. Siapa yang akan membekalkan makanan, menjaga
keselamatan dan lain-lain.
Memang
benar bahawa sistem pendidikan yang kita amalkan di waktu ini amat bias dan mementingkan kekuatan akal atau
IQ semata-mata. Tidak ada tempat dan ruang untuk pelajar yang kuat jiwa dan
kuat perasaan atau dalam istilah yang lain yang kuat SQ dan EQnya. Oleh itu,
mereka ini terpinggir dalam sistem yang hanya mementingkan IQ semata-mata.
Sistem ini tidak relevan bagi mereka. Tidak hairanlah kalau mereka ini rosak
dan hanyut kerana tidak dapat menyesuaikan diri dengan sistem yang ada yang
asing dan tidak mengiktiraf beberapa kelebihan yang ada pada mereka.
Mereka
diasak dan ditubi untuk menghasilkan kerja akal walhal kekuatan mereka bukan
terletak di situ. Dalam hal-hal yang mereka minat dan mampu berdasarkan
kekuatan perasaan dan jiwa mereka tidak pula dicungkil ataupun dibina. Kesannya
ialah tekanan perasaan, kekecewaan, putus asa dan kekeliruan. Jadi berlakulah
tidak balas sebagai manitestasi kepada kekecewaan, tekanan perasaan, putus asa
dan kekeliruan ini. Yang kuat jiwa mengganas, memberontak dan melanggar
disiplin dan peraturan. Yang kuat perasaan pula mendongkol, murung, merasa inferiority complex, putus asa dan sakit
jiwa.
Di
dalam setiap kekuatan batin yang disebutkan di atas, ada kebaikan dan ada pula
keburukannya. Yang baik akan memberi faedah. Yang buruk pula akan membawa
kerugian. Sifat-sifat baik dan buruk ini adalah seperti berikut:
·
Kekuatan
Akal
Orang yang kuat
akal mempunyai keupayaan berfikir. Melalui
pemikirannya itu, dia boleh membuat berbagai-bagai penemuan dan teori. Dia juga
mudah faham dan mudah mengingati ilmu-ilmu yang dipelajarinya bahkan dia mampu
mencungkil ilmu yang tersirat dan yang tersembunyi. Dia juga sangat
berhati-hati supaya hasil kerja akalnya tidak salah.
Sebaliknya
pula, orang yang kuat akal selalu ayik
mahsyuk dengan kerja akalnya sehingga dia selalu terlupa dan terlalai
daripada tanggungjawabnya sama ada terhadap Tuhan, terhadap masyarakat,
keluarga bahkan pada dirinya sendiri. Jiwanya penuh dengan rasa ujub (rasa diri
hebat).
·
Kekuatan
Perasaan
Orang yang kuat
perasaan selalunya berhati-hati dan tidak gopoh. Dia sangat bertimbang rasa dan
wataknya lemah lembut.
Namun
keburukan sifat orang yang kuat perasaan ini ada banyak. Dia bakhil, mudah merajuk, mudah kecewa, suka
menyendiri, rasa rendah diri dan tidak yakin pada diri sendiri. Dia juga mudah
beralah, pemalu, penakut, tidak tahan diuji dan suka bersangka jahat.
·
Kekuatan
Jiwa
Orang yang kuat
jiwa pula berani, yakin pada diri, pemurah, tabah, tahan diuji dan tidak tahu
putus asa.
Keburukannya
pula, dia selalu gopoh, boros (membazir), zalim (suka menindas), pemarah,
sombong, pendendam dan ujub.
Dalam
hendak mendidik para pelajar, kekuatan batin mereka harus dikenalpasti terlebih
dahulu. Setiap guru dan pendidik mesti tahu di mana letak kekuatan batin setiap
pelajar mereka. Adakah akalnya kuat, perasaan kuat atau adakah jiwanya yang
kuat? Kemudian mereka perlu dididik mengikut kekuatan mereka masing-masing.
Setiap
pelajar mempunyai sifat-sifat lain yang baik di samping sifat-sifat batin yang
buruk. Tegasnya setiap pelajar mempunyai kelebihan dan keistimewaan dan juga
kekurangan serta kelemahan yang tertentu bergantung kepada kekuatan batin yang
ada padanya. Setiap sifat yang baik itu
tidak akan sempurna selagi ianya tidak dipimpin dengan syariat Islam dan
diarahkan kepada jalan Allah s.w.t. Begitu juga, setiap sifat yang buruk itu
boleh dididik hingga ia menjadi baik atau sekurang-kurangnya ia boleh dibendung
agar ia tidak meliar.
Inilah
yang perlu difahami oleh para guru dan pendidik dan semua yang terlibat dengan
para pelajar di semua peringkat sama ada di peringkat sekolah, pendidikan
daerah, pendidikan negeri dan kementerian sendiri. Kalau istilah pembelajaran
itu berkaitan dengan ilmu, kemahiran dan akal, istilah pendidikan pula
melibatkan pengurusan dan pengedalian sifat batin pelajar. Selagi perkara ini
tidak difahami, tidak diambil kira dan tidak dijadikan konsep dan prinsip dalam
mendidik, membimbing dan membentuk para pelajar, selagi itulah kita tidak akan
dapat menghasilkan pelajar yang benar-benar cemerlang lahir dan batinnya.
No comments:
Post a Comment