Wednesday 14 December 2016

Ajaran Islam Yang Terpenting Adalah Akidah

Ajaran Islam Yang Terpenting Adalah Akidah

Ajaran Islam sangat luas. Dari tiga asas utama ajaran Islam pada zaman Rasulullah SAW iaitu iman, Islam dan ihsan atau istilah baharunya akidah, syariat dan tasawuf, ilmu Islam telah berkembang dengan begitu luas sekali. Memang begitulah sifat ilmu. Apabila manusia mengkaji dan mencungkil sumber-sumber ilmu maka ilmu itu bertambah.
Maka lahirlah banyak ilmu-ilmu baharu dan semakin bertambah. Sudah banyak ilmu Islam yang wujud di zaman ini tidak ada di zaman Rasulullah s.a.w dan para Sahabat. Daripada iman lahir ilmu kalam; daripada Islam lahir ilmu usul fekah, khawaidul fekah, fekah ibadah, fekah muamalat, fekah jenayat, fekah munakahat, fekah jihad, fekah dakwah dan lain-lain lagi; daripada al-Quran lahir ilmu tafsir, ilmu usul tafsir, ilmu tajwid, qiraat, balaghah dan sebagainya. Masing-masing ilmu ini berdiri dengan sendiri, ada sistemnya yang tersendiri dan diajar pula mengikut cara yang tersendiri.
Namun, di dalam kancah ilmu yang sebegitu banyak dan berbagai-bagai itu, ajaran Islam yang terpenting tetaplah iman atau akidah. Ini adalah ilmu yang berkait dengan soal Tuhan dan perkara-perkara yang ghaib. Ia adalah ilmu untuk mengenal zat Tuhan dengan tepat, mengenal sifat Tuhan secara tepat dan mengenal peranan-peranan Tuhan secara tepat.
Kalau kita baca ayat-ayat Quran dari awal sampai ke akhir, hampir setiap surah, Tuhan mempekenal diri-Nya, Zat-Nya, sifat-Nya dan peranan-Nya. Walaupun ayat-ayat itu menceritakan tentang perkara lain seperti syariat, sejarah dan lain-lain lagi tetapi Tuhan tidak lepas dari menyelitkan hal-hal untuk memperkenalkan diri-Nya. Kalau tidak di awal surah, di tengahnya. Kalau bukan di tengah, di akhirnya. Begitulah keberadaan ayat-ayat Quran. Ini adalah untuk menunjukkan bahawa pada keseluruhan ajaran Islam itu, yang paling penting adalah soal akidah. Kalau akidah tidak selesai, soal-soal lain turut tidak selesai dan tidak ada erti apa-apa. Dalam membicarakan soal apa pun, perkara akidah disebut sama. Antara firman-firman Tuhan yang diselitkan itu adalah seperti berikut:
“Tuhan memiliki langit dan bumi.”
“Tuhanlah yang mempergilirkan malam dan siang.”
“Tuhanlah yang menjadikan manusia dari setitis air.”
“Tuhanlah yang menjadikan hidup dan mati.”
“Tuhanlah yang mematikan dan menghidupkan.”
“Tuhanlah yang menyembuhkan penyakit.”
“Tuhanlah yang menjadi penyelamat.”
“Tuhan yang Maha Berkat.”
“Tuhanlah yang memberi rezeki.”
“Tuhan yang menjadikan segala-galanya.”
“Tuhan yang mendatangkan keselamatan dan bala bencana.”
Begitulah seterusnya. Apakah maksud semua ini? Apakah yang Tuhan kehendaki? Ia tidak lain dan tidak bukan adalah supaya kita mengenali Tuhan secara tepat – agar akidah dan kepercayaan kita kepada Tuhan itu tepat, sama ada tentang zat-Nya, sifat-Nya mahupun peranan-Nya. Itulah tujuan Tuhan memperkenalkan diri-Nya kepada kita dalam setiap surah di dalam Al-Quran.
Mengapakah akidah itu penting? Mengapakah Tuhan itu penting? Kerana di situlah permulaan dan titik tolak agama. Tanpa Tuhan, ajaran Islam akan hanya menjadi satu ajaran ideologi. Yang membezakan antara agama dan ideologi ialah Tuhan. Dalam ajaran ideologi, Tuhan tidak ada.
Dalam agama, perkara yang terpokok adalah Tuhan. Awal-awal agama mengenal Tuhan; tiada Tuhan maka tiada agama. Dalam erti kata lain, ajaran Islam yang terpokok, yang pertama dan utama adalah akidah. Syariat dan tasawuf datang kemudian. Dua elemen ini tidak bermakna dan tiada erti apa-apa jikalau akidah tiada.
Syariat adalah peribadatan lahir manakala tasawuf adalah peribadatan batin. Peribadatan sama ada lahir atau batin tidak timbul kalau tiada Tuhan untuk dipersembahkan ibadat itu. Pengabdian juga tidak timbul kalau tiada Tuhan untuk kita mengabdikan diri kepada-Nya. Peribadatan dan pengabdian hanyalah cara untuk kita membesarkan, mengagungkan dan memuliakan Tuhan setelah Tuhan itu dikenali, dicintai dan ditakuti. Peribadatan lahir dan batin atau syariat dan tasawuf hakikatnya bukanlah agama kalau Tuhan tidak ada di dalamnya atau kalau ianya dibuat bukan kerana untuk mendapat Tuhan.
Oleh itu, jangan hanya ketengahkan syariat. Jangan hanya ketengahkan tasawuf. Bahayanya nanti, kita tidak dapat Tuhan. Ketengahkan akidah dahulu dan perkenalkan Tuhan dahulu. Apabila Tuhan sudah dikenali, dicintai dan ditakuti, syariat lahir dan batin akan terjadi dengan sendiri. Cinta dan takut dengan Tuhan itu adalah pendorong terbesar untuk kita bersyariat.
Inilah yang dibuat oleh Rasulullah SAW dalam mendidik para Sahabat. Selama tiga belas tahun di era Mekah, tidak ada lain yang Rasulullah s.a.w ajar kepada para Sahabat melainkan tentang hal ketuhanan dan keimanan. Di era Mekah, Rasulullah menanam akidah dan keimanan di hati para Sahabat hingga mereka menjadi orang-orang yang mencintai dan merindui Tuhan. Soal syariat kebanyakannya dilaksanakan di era Madinah. Perintah sembahyang pun hanya diturunkan di tahun kesebelas era Mekah atau setelah sebelas tahun Rasul diangkat menjadi nabi.
Akidah itu penting kerana ia adalah berkenaan Tuhan. Tuhan itu penting kerana Dia adalah sumber. Tuhan itu khaliq. Dia pencipta. Alam itu mahluk. Dia dicipta. Tuhan boleh wujud tanpa mahluk dan mahluk tidak boleh wujud tanpa Tuhan; seluruh mahluk ciptaan Tuhan perlukan-Nya. Oleh yang demikian, sepenting mana pun alam atau mahluk, ia tidak mengatasi pentingnya Tuhan.
Bertambah penting lagi Tuhan itu kerana Dia menuntut hak-Nya sebagai Tuhan. Dia mahu supaya Dia dibesarkan, diagungkan, disembah dan dimuliakan. Dia menuntut ciptaan-Nya supaya mengabdikan diri kepada-Nya. Dia menuntut ciptaan-Nya supaya taat dan patuh kepada sunnah-Nya iaitu hukum, peraturan dan perintah-Nya sama ada yang berbentuk karhan (terpaksa) atau tau’an (pilihan). Siapa ingkar, dia akan musnah. Kalau tidak dengan serta-merta, sudah tentu pada masa yang ditangguhkan. Kalau tidak di dunia, sudah pasti di Akhirat.
Setiap sesuatu di muka bumi ini tidak akan wujud buat selama-lamanya. Semuanya akan kembali ke Tuhan; Tuhan akan menilai, akan menghukum atau memberi ganjaran, akan menetapkan siapa diberi rahmat dan siapa diseksa, akan menetapkan siapa ke Syurga dan siapa ke Neraka. Di Akhirat nanti tiada siapa yang menilai dan menghukum melainkan Tuhan – Dialah yang memerintah di hari Akhirat atau hari kebangkitan. Pada hari itulah rugilah orang yang tidak mementingkan Tuhan; orang yang rugi termasuklah orang yang mengamalkan agama tetapi tidak ada Tuhan dalam agamanya.
Mengenal Tuhan itu, khususnya mengenal Zat, sifat dan peranan Tuhan adalah nikmat yang paling besar daripada Tuhan. Ia adalah nikmat yang paling besar bagi mahluk. Ia nikmat yang lebih besar dari dunia dan lebih besar dari Akhirat. Tiada nikmat yang lebih besar bagi mahluk dari nikmat mengenal Tuhan.
Tuntutan fitrah semula jadi manusia yang paling utama adalah untuk mengenal dan merasa bertuhan. Selagi Tuhan tidak dimiliki, tuntutan fitrah dan merasa bertuhan. Selagi Tuhan tidak dimiliki, tuntutan fitrah manusia ini tidak akan selesai. Roh manusia akan ketandusan. Manusia akan sentiasa merasa resah dan gelisah, merana dan kecewa selagi mereka tidak mendapat Tuhan walaupun satu dunia in menjadi miliknya. Merasa bertuhan adalah ‘makanan’ bagi rohani manusia. Ia merupakan sumber ketenangan dan kesejahteraan jiwa.
Kedatangan para rasul tidak lain adalah supaya mereka berjuang mengenalkan Tuhan, mengenal Zat-Nya, sifat-Nya dan peranan-Nya kepada manusia; agar manusia mengenali, mencintai dan mentakuti akan Tuhan; agar tuntutan fitrah manusia terisi. Apabila kita mengenali Tuhan secara tepat, maka akan timbul rasa cinta dan takut kepada Tuhan. Kita akan dapat rasa Tuhan itu adalah segala-galanya. Tuhan itu penyelamat dunia dan di akhirat. Dialah tempat kita berserah nasib dan bergantung harap; agar kita benar-benar merasakan Tuhan itu wujud dan kita perlu kepada-Nya. Kita rasa kita tidak boleh hidup dan tidak boleh selamat tanpa Tuhan – supaya kita mampu menyerahkan diri kita sepenuhnya kepada Tuhan. Tiada yang berkuasa mutlak melainkan Tuhan. Mahluk, walau sebesar mana pun kuasanya tidak satu habuk pun nilainya apabila dibandingkan dengan kuasa-Nya.
Apabila kita benar-benar mengenal Tuhan, kita akan rasa Tuhan itu adalah segala-galanya. Kita akan menyerahkan diri kepada-Nya. Kita akan berserah diri kepada-Nya tanpa berbelah bahagi. Kita akan seronok, rasa kuat dan rasa beruntung dapat bersama-Nya.
Antara ketiga-tiga cabang ilmu Islam iaitu iman, Islam dan ihsan atau akidah, syariat dan tasawuf, Tuhan mahu iman atau akidah itu didahulukan dan diberi keutamaan. Bukan kerana Tuhan perlukan perhatian manusia; bukan kerana Tuhan ada kepentingan dan mengambil untung di atas keyakinan dan kepercayaan manusia. Tetapi kerana Tuhan mahu memberikan rahmat dan nikmat-Nya kepada manusia. Rahmat dan nikmat Tuhan yang hakiki itu hanya boleh didapati dari sisi Tuhan dan bukan daripada sumber yang lain.
Apabila manusia mengenal Tuhan, cinta dan takut dengan Tuhan, maka untuk membuktikan dan memenuhi rasa cinta dan takut itu, manusia akan bergegas dan bertungkus-lumus membuat ibadah dan melaksanakan syariat sama ada yang lahir mahupun yang batin kerana itu adalah perintah Tuhan. Cinta dan takut Tuhan adalah pendorong terbesar untuk manusia beribadah dan berbakti kepada Tuhan. Cinta Tuhan akan mendorong manusia membuat apa yang Tuhan suruh dan yang Tuhan suka – akan timbul kasih sayang antara manusia. Takut akan Tuhan akan menahan manusia daripada membuat perkara-perkara yang Dia larang dan benci. Manusia akan takut untuk menyakiti manusia lain. Hasilnya: akan tertegaklah syariat sama ada yang lahir mahupun yang batin, yang ain atau kifayah, yang berbentuk peribadi atau secara bermasyarakat. Buah daripada ibadah akan melahirkan manusia yang baik dan yang memberi manfaat kepada manusia lain.
Manusia akan berkhidmat dan memberi sebanyak-banyak kebaikan dan manfaat kepada orang lain. Manusia akan memperbaiki diri, akhlak dan berdisiplin. Hasilnya, seluruh masyarakat akan untung; akan wujud khidmat dan prasarana masyarakat; akan tolong-menolong, bantu-membantu dan bela-membela; akan timbul rasa bersama dan bekerjasama; bersatu padu dan berkasih sayang; bersih daripada jenayah, keruntuhan moral dan kezaliman; bersih daripada tekanan, penipuan dan penindasan; akan hidup bahagia dan aman damai di dunia.
Itu semua adalah hasil daripada akidah yang tepat. Hasil daripada kenal-mengenali, cinta serta takut pada Tuhan. Kebaikannya kembali kepada manusia. Tuhan tidak ada kepentingan dan tidak mengambil apa-apa untung.

Kalaulah umat Islam memahami akan perkara ini terutamanya para ulama, maka apabila mereka bercerita tentang ilmu, mereka tidak akan ceritakan hal ehwal dunia seperti pembangunan, kemajuan, ekonomi dan hal sebagainya kerana itu semua cumalah perkara kecil. Tuhan itu lebih besar; mereka akan bercakap tentang Tuhan – apabila orang kenal, cinta dan takut akan-Nya, pembangunan dan kemajuan akan berlaku dengan sendirinya, malah ekonomi akan turut membangun. Orang buat semua itu demi untuk membesarkan Tuhan. Kalau bercerita tentang hal-hal ehwal sedemikian tanpa Tuhan, belum tentu boleh maju dan membangun – kalaupun boleh, ia bukan lagi kerana Tuhan atau ikut cara yang Dia mahu. Jika pembangunan dan kemajuan dicapai tidak kerana-Nya serta tidak mengikuti cara-Nya, maka keburukannya lebih banyak berbanding kebaikannya. Ia akan memakan diri, jadi itulah yang dinamakan istidraj.

No comments:

Post a Comment