Thursday 4 May 2017

PANDUAN PENDIDIKAN ISLAM 3 - PANDUAN MENDIDIK ANAK 7 HINGGA 9 TAHUN

PANDUAN PENDIDIKAN ISLAM 3 - PANDUAN MENDIDIK ANAK 7 HINGGA 9 TAHUN

Dalam umur 7 hingga 9 tahun, kanak-kanak telah pun mula menjejak kaki ke alam persekolahan secara rasmi. Di sekolah, mereka dididik secara langsung oleh guru-guru. Pengalaman semasa di taman didikan kanak-kanak dulu menjadikan alam persekolahan tidak asing lagi bagi mereka. Dan alam persekolahan ini tentu lebih menyeronokkan malah mencabar. Guru adalah pendidik terpenting selepas ibu bapa, maka guru hendaklah betul-betul mengambil alih tugas ibu bapa semasa di sekolah. Apa yang diajar oleh ibu bapa di rumah hendaklah bersambung di sekolah juga. Ertinya selain memberi ilmu mengikut sukatan mata pelajaran rasmi di sekolah, guru hendaklah mengasuh dan mendidik mereka agar menjadi anak soleh. Ertinya pendidikan rohani murid mesti berlaku di sekolah, tidak cukup menyampaikan ilmu semata-mata. 

A. Membimbing akhlak mulia

Seorang pendidik yang memiliki akhlak mulia lebih mudah mendidik murid-muridnya agar berakhlak mulia. Dirinya akan menjadi contoh dan ikutan kepada anak muridnya. 

1. Latihan Berakhlak Baik Terhadap Guru Pertama-tama yang perlu dilatih pada usia ini ialah adab belajar terutama semasa berhadapan dengan guru:
§  Mulakan beri salam kepada guru.
§  Kurangkan bercakap kecuali apabila diminta bercakap.
§  Berdiri menghormati guru apabila guru hendak keluar.
§  Jangan membanding-bandingkan pendapat guru dengan guru yang lain di hadapannya.
§  Ketika guru sedang mengajar, jangan berbual dengan kawan-kawan.
§  Jangan menyanggah pendapat guru dengan sikap atau perbuatan.
§  Jangan bertanya kepada guru di saat dia tidak bersedia untuk menjawabnya. Ini boleh jadi ketika itu dia sedang menyampaikan ilmu, waktu dia letih atau waktu ada perkara lain yang sedang difikirkan.
§  Muliakan guru dengan mencium tangannya.
§  Tidak mengata-ngata guru di belakangnya. Menghormati keluarga guru.
§  Mendoakan guru.
Adab-adab ini hendaklah selaiu diingat-ingatkan supaya menjadi satu amalan biasa. Adab-adab ini jika dipatuhi akan menjadikan ilmu yang dipelajari itu berkat. 

2. Latihan Menghadapi MakananDalam soal makan, pendidik eloklah mencerca kanak-kanak yang kuat makan di hadapan kawannya Tujuannya supaya ia terasa malu dan segera membuat perubahan. Mereka di peringkat ini memang banyak sifat tercela dalam soal makan, diantaranya: a. Suka makan. b. Banyak makan. c. Sentiasa hendak makan. d. Terlalu memilih makanan Sifat-sifat ini tidak boleh dibiarkan tumbuh membiak dalam jiwa mereka, ia mesti dikawal. Caranya ialah dengan mengenakan disiplin yang ketat. Diantaranya:
§  Jangan membiasakan mereka makan makanan yang mewah dan sedap.
§  Biasakan sikap mendahulukan orang lain sebelum menyuap makanan.
§  Jangan membiasakan mereka memandang tepat pada makanan.
§  Tanamkan perasaan berpuas hati dengan makanan yang dihidang.
Disiplin seperti ini akan menjadikan mereka tidak gelojoh atau rakus dengan makanan. Amalan ini bukan saja untuk zaman kanak-kanak malah patut dikekalkan sehingga dewasa kelak. 

3. Latihan Menghormati Orang Tua Dalam soal menghormati orang tua, anak-anak hendaklah dilatih supaya mematuhi beberapa adab. Adab ini hendaklah diingatkan selalu sama ada dengan contoh yang baik dari ibu bapa atau gurunya mahupun melalui teguran Bentuk latihan yang boleh dibuat ialah:
§  Latih anak-anak agar sentiasa bersikap malu dengan orang yang lebih tua darinya.
§  Latih anak-anak supaya berlemah-lembut ketika berbual dengan orang yang lebih tua.
§  Latih anak-anak supaya sentiasa mendengar tutur kata orang tua dengan penuh perhatian.
Latihan ini penting supaya mereka tidak melakukan perkara yang kurang sopan atau kurang manis di hadapan orang-orang tua. 

4. Latihan Sembahyang Sabda Rasulullah SAW: "Suruhlah anak kamu yang berusia tujuh tahun melakukan sembahyang, dan pukullah mereka (jika mereka enggan) apabila sudah berusia sepuluh tahun." 

Disiplinkan mereka bersembahyang tepat pada waktunya. Ini mungkin agak susah sebab itu latihan ini mesti dilakukan secara serius Jika mereka sudah terbiasa dengan sembahyang diawal waktu sejak kecil lagi maka apabila dewasa kelak pasti ia menjadi mudah dan mereka akan rasa bersalah kalau melewat lewatkan sembahyang Latih mereka dalam soal bersuci seperti: i.Kebersihan diri daripada najis dan hadas. ii. Kebersihan pakaian daripada najis. iii. Kebersihan tempat daripada najis. Ajar dan tatih mereka berwudhuk. Di peringkat ini anak-anak sepatutnya sudah tahu menghafal semua bacaan dalam sembahyang, yakni telah menguasainya di peringkat tadika. Jika anak kita belum menghafalnya maka kita wajib mengajar mereka bacaan-bacaan sembahyang. Galakkan anak-anak bersembahyang jemaah bersama-sama ibu bapa. 

5. Latihan Berpuasa 
Puasa pada bulan Ramadhan eloklah digalakkan kepada anak-anak. Amalan puasa ini kalau tidak dibiasakan dari kecil nescaya akan menjadi berat kepada mereka di waktu dewasa kelak. Jika anak-anak kita merasa berat untuk berpuasa, kita boleh:
§  Menggalakkannya berpuasa setengah hari.
§  Kemudian tingkatkan berpuasa penuh tapi berselang hari.
§  Dalam pada itu, elakkan menyimpan makanan di siang hari supaya jangan terbit keinginan anak-anak untuk makan.
Masyarakat Melayu agak beruntung kerana puasa sudah menjadi amalan biasa, ia disambut dengan gembira oleh semua lapisan masyarakat, baik kanak-kanak lebih-lebih lagi orang dewasa. Sepanjang bulan Ramadhan kantin sekolah tidak dibuka. Mahu tidak mahu mereka terpaksa berpuasa. Ini merupakan latihan yang agak baik. Cuma kita bimbang masyarakat akan datang menyangka ianya sebagai adat semata-mata. Akibatnya mereka melakukan sambil lewa saja Atas kebimbangan ini, banyak lagi bentuk latihan yang perlu dibuat. Ini bergantung kepada kemampuan kanak-kanak tersebut. 

Di antara bentuk latihan ialah: Menceritakan tujuan berpuasa selain daripada menunaikan perintah Allah, ia adalah untuk mendapat sifat-sifat taqwa seperti belas kasihan kepada orang susah, tawaduk, amanah, rasa diri sebagai hamba yang lemah, terasa syukur atas nikmat Tuhan selama ini dan lain-lain. 

Melatih anak-anak agar berpuasa lahir dan batin

Puasa lahir ertinya meninggalkan makan minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa serta menjaga diri agar tidak melakukan maksiat seperti mengumpat, mencuri, berbohong dan lain-lain. Puasa batin pula ialah menjaga hati daripada sifat-sifat mazmumah yang keji seperti sombong, bakhil, gila dunia, gila puji. tamak, hasad dengki dan lain-lain.

PANDUAN PENDIDIKAN ISLAM 1 - BAGAIMANA MELAHIRKAN ANAK SOLEH (0 - 3 TAHUN)
http://akademirasulullah.blogspot.my/2017/05/panduan-pendidikan-islam-1-bagaimana.html

PANDUAN PENDIDIKAN ISLAM 2 - PENDIDIKAN PRA-SEKOLAH DALAM ISLAM (4 - 6 tahun)
http://akademirasulullah.blogspot.my/2017/05/panduan-pendidikan-islam-2-pendidikan.html

PANDUAN PENDIDIKAN ISLAM 4 - PANDUAN MENDIDIK ANAK 10 HINGGA 12 TAHUN
http://akademirasulullah.blogspot.my/2017/05/panduan-pendidikan-islam-4-panduan.html

PANDUAN PENDIDIKAN ISLAM 5 - PANDUAN MENDIDIK ANAK REMAJA (13 – 18 tahun)
http://akademirasulullah.blogspot.my/2017/05/panduan-pendidikan-islam-5-panduan.html

No comments:

Post a Comment