PANDUAN PENDIDIKAN ISLAM 5 - PANDUAN MENDIDIK ANAK REMAJA (13 – 18 tahun)
Banyak orang boleh memberi ilmu tapi
gagal mendidik, orang yang berjaya mendidik manusia itu ialah orang yang
dirinya lebih dahulu terdidik
Kebanyakan kanak-kanak atau lebih tepat
lagi remaja, mereka sudah baligh di usia 13 hingga 18 tahun. Sesetengahnya baru
memasuki alam itu. Di sini bermulalah alam baru bagi mereka. Fitrah anak-anak
muda di usia ini, antaranya ialah lelaki sudah ada keinginan terhadap
perempuan, begitu juga sebaliknya. Fitrah ini jika tidak dikawal akan
menyebabkan berlaku pergaulan bebas yang membawa kepada keruntuhan akhlak
muda-mudi. Inilah yang berlaku hari ini hasil didikan secara tidak langsung
oleh persekitaran mereka. Media massa misalnya; sama ada media elektronik atau
media cetak; turut terlibat dalam mempengaruhi budaya bebas ini. Bagi anak anak
yang telah dididik secara serius dengan pendidikan Islam, yang mana mereka
sudah ada sedikit rasa bertuhan dan rasa kehambaan serta tahu batas-batas
syariat, inilah yang menjadi benteng dari segala pancaroba dunia moden hari
ini. Rasa cinta dan takut kepada Tuhan sajalah yang mampu menghalang manusia
dari melakukan kejahatan. Namun kebanyakan remaja hari ini masih perlukan
pengawasan ibu bapa. Kita tidak boleh merasa senang hati kerana merasakan
mereka sudah besar dan tahu berfikir lalu membiarkan kedewasaan mereka tanpa
diikat.
Kita hendaklah memberi perhatian kepada
mereka antaranya:
1. Siapa kawan-kawannya
Kadang-kadang pengaruh kawan-kawan di
peringkat ini perlu diambil kira Pengalaman yang sudah-sudah menunjukkan
walaupun masyarakat kampung yang terbiasa dengan didikan keagamaan namun
apabila tiba di bandar atau kota, semuanya boleh berubah dengan sekelip mata.
Kalau begitu, tugas ibu bapa dalam mendidik anak belum lagi selesai. Malah di
waktu ini lebih mencabar lagi
2. Pengisian ilmu
Perkara yang mesti dititikberatkan di
peringkat ini ialah ilmu tauhid, ilmu feqah dan ilmu tasawuf.
§
membantu mereka dalam mujahadatunnafsi (melawan hawa nafsu)
§
meningkatkan pengalaman mereka melalui latihan kemahiran.
§
mematangkan fikiran mereka dengan mendedahkan kepada program luar.
Kesemua ini adalah ilmu yang mesti diberikan
sama ada secara langsung atau tidak. Ilmu sebenarnya tidak semestinya
disampaikan di tempat atau dimajlis-majlis rasmi saja, ia boleh disampaikan di
mana-mana saja Bahagian pertama mungkin boleh diperolehi di sekolah, tapi
bahagian lainnya tidak akan diperolehi di bilik darjah, bahkan alam sekitarlah
sekolahnya secara tidak langsung. Mungkin teguran kawan boleh mendidiknya dan
boleh jadi juga kesusahan kawan boleh mendidiknya. Lebih-lebih sikap dan akhlak
ibu bapa sendiri memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi anak-anak.
Rasulullah SAW sendiri sentiasa mendidik para Sahabat tidak kira di mana sahaja
sama ada di atas unta, di masjid, di pasar, di kedai-kedai, waktu rehat, ketika
musafir, di majlis kenduri, di majlis kematian hatta di medan perang sekalipun,
Rasulullah mendidik seseorang itu tanpa menangguh-nangguhkan masanya. Apabila
dilihat saja seorang Sahabat melakukan kesalahan, terus dibetulkannya.
Misalnya, pernah berlaku pada suatu hari ketika Rasulullah membaca khutbah
Jumaah, tiba-tiba masuk seorang Sahabat dan duduk tanpa bersembahyang sunat
Tahiyatul Masjid, lantas baginda dalam khutbah itu terus meminta Sahabat tadi
agar segera bangun untuk bersembahyang sunat. Rasulullah tidak menunggu habis
sembahyang Jumaat untuk memberitahunya.
Mengenal pasti watak dan tahap pemikiran
mereka Ibu bapa dan pendidik hendaklah mengenal pasti watak dan
tahap pemikiran mereka. Apakah mereka golongan cerdik pandai atau golongan yang
ingin tahu atau golongan degil. Untuk berhadapan dengan anak remaja ini perlu
kepada kaedah yang tidak sama di antara satu sama lain.
Golongan cerdik pandai Boleh jadi anak
kita seorang yang bijak dan tinggi ilmunya. Untuk menghadapinya ibu bapa
hendaklah bijaksana juga. Apa yang ibu bapa sarankan kepadanya hendaklah disertakan
dengan dalil dan hujah yang tepat. Mereka mudah menerimanya jika hujan yang
diberikan itu dan munasabah.
Golongan yang ingin tahu Boleh jadi juga
kita mempunyai anak yang mudah mengikut tunjuk ajar atau telunjuk yang baik.
Mereka ini mudah dihadapi, iaitu hanya dengan memberi ilmu dan nasihat yang
baik serta contoh teladan yang baik dan mudah pula mereka mengikutnya.
Golongan degil Tidak kurang
juga mereka yang mempunyai anak yang degil, yang tidak senang hati dengan sikap
ibu bapanya. Untuk menghadapinya, ibu bapa hendaklah pandai membawa mereka
berbincang secara empat mata. Minta dijelaskan perkara yang tidak disenanginya.
Mereka memang suka berhujah dan berdebat. Di sinilah ibu bapa mesti pandai
mematahkannya dengan baik. Setelah jelas kebenarannya barulah mereka mahu
menerimanya. Ketiga-tiga golongan ini wujud di mana-mana sama ada di kalangan
kanak-kanak, orang dewasa, muda-mudi mahupun orang tua. Oleh itu para pendidik
mestilah mengenal pasti setiap golongan itu agar didikan yang disampaikan itu tepat
pada sasarannya.
Tahu kaedah dan pendekatan pendidikan Di samping itu
kaedah atau pendekatan pendidikan hendaklah selari dengan kaedah yang pernah
dilakukan oleh Rasulullah. Ini kerana pendekatan yang dibawa oleh baginda sudah
terbukti membawa kejayaan.
Pendidikan Rasulullah terbahagi kepada dua
peringkat: Peringkat Makkah dan Peringkat Madinah
Di peringkat Makkah, Rasulullah
membangunkan insan. Manakala di peringkat Madinah, baginda memulakan
pembangunan fizikal. Hasil dari proses didikan seperti ini, maka lahirlah
masyarakat, negara dan dunia yang aman makmur serta mendapat keampunan Aliah.
Di sini disenaraikan kaedah pendidikan
itu sebagai panduan para pendidik:
a- PEMBINAAN INSAN
Mendidik jiwa tauhid agar tumbuh rasa
bertuhan dan rasa kehambaan yang tinggi terhadap Allah SWT. Ertinya mengenalkan
Tuhan kepada manusia. 'Kenal' Tuhan tidak sama dengan 'tahu' tentang Tuhan.
Kalau sekadar tahu tentang adanya Tuhan, tahu bahawa Tuhan itu Maha Mendengar,
Maha Melihat dan sebagainya, belum tentu seseorang itu takut dan cinta kepada
Allah. Seseorang yang benar-benar kenal Tuhannya dia pasti cinta dan takut
kepada Tuhannya. Inilah yang dilakukan oleh baginda di peringkat Makkah iaitu
mengenalkan Tuhan kepada para Sahabat selama 13 tahun sehingga mereka benar-benar
cinta dan takut kepada Tuhan. Hati yang takut dan cinta kepada Tuhan sahaja
yang mampu memikul syariat dan hukum-hakam dari Tuhan. Oleh sebab itulah
setelah mereka benar-benar kenal Tuhan, barulah datang perintah syariat di
peringkat Madinah yang mengambil masa 10 tahun sahaja. Ertinya mengenalkan
Tuhan kepada manusia memakan masa yang lebih lama. Oleh itu kita yang
bercita-cita ingin menegakkan Islam dalam kehidupan diri, keluarga, masyarakat
dan seterus negara dan alam sejagat ini, perlu berusaha mengenalkan Tuhan
kepada anak-anak sejak kecil lagi.
Jadi anak-anak kita yang sudah
meningkat remaja ini, tidak boleh kita paksa paksakan untuk melakukan syariat
semata-mata. Apa yang lebih utama ialah menanamkan dalam hatinya rasa bertuhan
dan rasa kehambaan seperti: Merasa Maha Besarnya Allah, Maha Agungnya, Maha
Berkuasa melakukan apa sahaja ke atas diri kita, Maha Pengasih dan Maha
Penyayang, Maha Pemurah dan Maha Menghukum, Maha Adil dan lain-lain sifat
Tuhan. Inilah yang dikatakan rasa bertuhan. Manakala rasa kehambaan pula ialah
merasa diri lemah, rasa diri tidak mampu, rasa tidak berkuasa apa-apa, rasa
bodoh, rasa mengharap kepada Tuhan, rasa berdosa, rasa bersalah, rasa hina
dina, rasa cemas dan bimbang dan lain-lain. Antara usaha yang boleh dilakukan
untuk mencapai apa yang disebut di atas maka anak-anak remaja ini hendaklah: a.
Dibawa berfikir tentang kekuasaan Allah. b. Dibawa berfikir tentang kehebatan
Allah. c. Dibawa berfikir tentang kebaikan Allah. d. Dibawa berfikir tentang
rahmat Allah serta nikmatNya. Banyak ayat Al Quran yang boleh membuka fikiran
kita ke arah itu.
Ayat-ayat itu yang kebanyakannya
diturunkan di Makkah antaranya bertujuan:
1. Mendidik hati agar rasa rindu dengan Syurga
Allah, rahmat-Nya, keampunan-Nya dan bantuan-Nya
Misalnya: a. Khabar gembira dari Allah
tentang kebaikan Syurga. b. Khabar gembira dan Allah tentang rahmat
Allah yang tidak terhingga. c. Khabar gembira dari Allah tentang
sifat keampunan Allah terhadap hambaNya yang bertaubat. d. Khabar gembira
dari Allah tentang jaminan-Nya ingin membantu hambaNya yang bertaqwa.
Bacakan selalu ayat-ayat Al Quran yang mengandungi khabar gembira di atas.
Selain itu elok juga diceritakan sejarah orang-orang soleh dan kejayaan
mereka.
2. Mendidik hati manusia agar merasa gerun
dengan Neraka dan azab Allah
Untuk mencapai ini, mereka hendaklah
diingatkan selalu akan: a. Buruknya isi Neraka b. Dahsyatnya azab Neraka. c.
Ugutan Allah terhadap orang yang menentang kebenaran. d. Kemurkaan Allah
terhadap penderhaka hukum Allah.
3. Mendidik manusia agar melakukan amal soleh
dan berakhlak mulia
Ini boleh dilakukan dengan menceritakan
kisah sejarah para nabi dan rasul serta orang soleh. Cerita-cerita itu boleh
dijadikan panduan dalam beramal. Biasanya manusia akan berbuat sesuatu jika
sudah ada contoh yang baik. Kalau begitu, didikan yang paling berkesan selepas
menceritakan sejarah seperti itu ialah menunjukkan contoh teladan yang baik
dari diri pendidik itu sendiri.
4. Mendidik manusia agar menghindari
sifat-sifat jahat agar selamat dari api Neraka
Untuk mendidik anak-anak ke arah ini,
para pendidik bolehlah membaca sejarah orang yang menentang Islam dan Allah.
Bagaimana mereka dihukum akibat menentang utusan Allah yang didatangkan kepada
mereka, seperti kisah Firaun, Namrud, Qarun, Hamman. Jadi, pendidik adalah
digalakkan membaca sejarah itu dan memperdengarkannya kepada anak didik mereka
b- MEMBANGUNKAN FIZIKAL
Setelah insan seorang Muslim itu
terbina maka jiwa mereka mudah diperintah dan dilarang dengan sesuatu hukuman.
Mereka mudah mematuhinya kerana jiwa mereka sudah bersedia memikul berbagai
tanggungjawab. Dengan kata-kata lain mudahlah mereka mengamalkan syariat dan
hukum-hakam Tuhan sebagaimana yang dikehendaki oleh-Nya. Di sini jika mereka
melakukan segala tugas yang dibebankan itu, mereka akan melakukannya dengan
penuh amanah dan tanggungjawab. Mereka tidak lalai dan sombong dengan kebolehan
yang ada. Dalam membina fizikal ini, mereka hendaklah dilatih dan didorong
membuat sesuatu kerja mengikut bakat dan bidang masing-masing. Kerja yang
dilakukan itu hendaklah pula diawasi agar tidak berlawanan dengan syariat
Islam. Mereka boleh dilatih berniaga untuk melihat kejujuran dan amanah mereka,
cara berurus niaga dengan betul dan cara melayan pelanggan. Mereka boleh
dilatih mengajar, mengajar adik-adik dengan ilmu yang tepat. Mereka juga boleh
dilatih menjadi jurubina, membuat rumah, juruelektrik dan lain-lain yang sesuai
dengan umur mereka. Aktiviti ini selain menjadikan fizikal mereka cergas dan
aktif, boleh juga mendidik hati dan diri mereka untuk mengamalkan ajaran Islam
secara praktikal. Ini juga boleh memahamkan mereka bahawa ajaran Islam itu
bukan sekadar menyuruh melakukan ibadah sembahyang, puasa, mengerjakan haji dan
zakat semata-mata malah segala aktiviti hidup juga boleh dijadikan ibadah.
Selain itu para remaja akan dapat menimba pengalaman di bidang yang menjadi
minat dan bakat mereka. Ini amat berguna sekiranya di masa hadapan mereka ingin
mendalami di bidang tersebut. Para remaja ini adalah aset bangsa, agama dan negara.
Oleh sebab itulah pendidikan sama ada di sudut insaniah mahupun lahiriah, amat
penting untuk melengkapkan mereka sebagai pengganti perjuangan kita hari ini.
Kaedah yang dibentangkan di sini jika dapat diikuti dengan baik pastilah akan
melahirkan generasi yang berilmu, beriman dan bertaqwa di samping berfikiran
jauh, matang dan mantap. Ketika itu lahirlah masyarakat yang berakhlak mulia
dan berbudi tinggi dalam sebuah negara yang aman makmur sebagaimana firman Allah: "Negara yang baik (makmur)
dan mendapat keampunan Tuhan." (Saba': 5)
PANDUAN PENDIDIKAN ISLAM 1 - BAGAIMANA MELAHIRKAN ANAK SOLEH (0 - 3 TAHUN)
http://akademirasulullah.blogspot.my/2017/05/panduan-pendidikan-islam-1-bagaimana.html
PANDUAN PENDIDIKAN ISLAM 2 - PENDIDIKAN PRA-SEKOLAH DALAM ISLAM (4 - 6 tahun)
http://akademirasulullah.blogspot.my/2017/05/panduan-pendidikan-islam-2-pendidikan.html
PANDUAN PENDIDIKAN ISLAM 3 - PANDUAN MENDIDIK ANAK 7 HINGGA 9 TAHUN
http://akademirasulullah.blogspot.my/2017/05/panduan-pendidikan-islam-3-panduan.html
PANDUAN PENDIDIKAN ISLAM 4 - PANDUAN MENDIDIK ANAK 10 HINGGA 12 TAHUN
http://akademirasulullah.blogspot.my/2017/05/panduan-pendidikan-islam-4-panduan.html
PANDUAN PENDIDIKAN ISLAM 1 - BAGAIMANA MELAHIRKAN ANAK SOLEH (0 - 3 TAHUN)
http://akademirasulullah.blogspot.my/2017/05/panduan-pendidikan-islam-1-bagaimana.html
PANDUAN PENDIDIKAN ISLAM 2 - PENDIDIKAN PRA-SEKOLAH DALAM ISLAM (4 - 6 tahun)
http://akademirasulullah.blogspot.my/2017/05/panduan-pendidikan-islam-2-pendidikan.html
PANDUAN PENDIDIKAN ISLAM 3 - PANDUAN MENDIDIK ANAK 7 HINGGA 9 TAHUN
http://akademirasulullah.blogspot.my/2017/05/panduan-pendidikan-islam-3-panduan.html
PANDUAN PENDIDIKAN ISLAM 4 - PANDUAN MENDIDIK ANAK 10 HINGGA 12 TAHUN
http://akademirasulullah.blogspot.my/2017/05/panduan-pendidikan-islam-4-panduan.html
No comments:
Post a Comment