Thursday 4 May 2017

PANDUAN PENDIDIKAN ISLAM 1 - BAGAIMANA MELAHIRKAN ANAK SOLEH (0 - 3 tahun)

PANDUAN PENDIDIKAN ISLAM 1 - BAGAIMANA MELAHIRKAN ANAK SOLEH (0 - 3 tahun)

Pendidikan di dalam Islam adalah sangat penting untuk melahirkan generasi yang beriman dan bertaqwa. Jika pendidikan diabaikan, maka lahirlah banyak kerosakan di atas muka bumi ini bukan saja ia merosakkan generasi itu, malah membebankan bangsa, agama dan negara. Jadi, setiap orang mesti mengambil tanggungjawab yang tidak terkecuali untuk memastikan sistem pendidikan Islam berlaku di semua peringkat sejak sebelum anak dilahirkan hinggalah dewasa. 

SABDA Rasulullah SAW: Tuntutlah ilmu sejak dari dalam buaian sehingga ke liang lahad. 

Ertinya, apabila lahir saja seorang bayi ke dunia, pendidikan untuknya telah pun bermula. Guru pertamanya sudah pasti ibu dan bapanya sendiri. Justeru itu, seseorang yang hendak menjejakkan kaki ke alam rumahtangga mesti memperkemaskan diri dengan berbagai-bagai ilmu zahir dan batin. Ilmu yang dimaksudkan ialah ilmu yang dapat mendidik diri agar menjadi seorang yang beriman dan bertaqwa. Walaupun kita belum mencapai taraf taqwa, tapi sekurang-kurangnya sudah ada cita-cita untuk menjadi orang bertaqwa serta bercita-cita untuk melahirkan generasi yang soleh dan bertaqwa. Gabungan antara lelaki dan perempuan yang beriman dan bertaqwa atau pasangan ada cita-cita Islam ini maka wujudlah sebuah rumahtangga Islam yang berasaskan iman dan taqwa Mereka tentu akan mencorak anak-anak mengikut kehendak Islam. Di sini dapatlah kita faham bahawa didikan secara tidak langsung sudah bermula sejak dari pemilihan jodoh. Inilah tahap pendidikan yang pertama. Tahap-tahap pendidikan seterusnya adalah:

1.    Semasa ibu mengandung
2.    Selepas bayi dilahirkan
3.    Peringkat umur 0 hingga genap 2 tahun
4.    Peringkat umur selepas 2 hingga 6 tahun
5.    eringkat umur 7 hingga 9 tahun
6.    eringkat umur 10 hingga 12 tahun
7.    Peringkat umur 13 hingga 18 tahun

Mendidik anak pada tahap-tahap di atas tidak sama di antara satu sama lain. Mungkin ada orang merasa pendidikan peringkat pertama tidak penting lalu dibiarkan begitu juga. Mungkin juga ada orang menganggap mendidik di peringkat awal pertumbuhannya lebih mudah dan pada yang lainnya lalu mereka menurut saja kehendak anak-anak mereka. Anggapan beginilah yang menyebabkan pendidikan anak-anak di peringkat seterusnya menjadi sulit sebab anak-anak telah dirosakkan pada tahap awal lagi. Sebenarnya Islam menganggap pendidikan di peringkat awal lebih susah berbanding dengan pendidikan di peringkat balighnya. Perlunya kita mendidik anak-anak sehingga menjadi anak soleh kerana:

1- Setiap ibu bapa dipertanggungjawabkan atas cara hidup anak-anak mereka di dunia dan akhirat.
Firman Allah: "Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan ahli dari azab keluarga kamu api Neraka." Sabda Nabi SAW: "Setiap bayi dilahirkan di atas fitrah maka kedua ibu bapa merekalah yang menjadikan mereka Yahudi atau Nasrani atau Majusi."

2- Anak-anak soleh pembimbing rakan sebaya ke arah kebaikan.
Sabda Nabi SAW: "Seseorang itu mengikut cara hidup kawannya." Sabda Nabi SAW lagi: "Seseorang itu akan bersama dengan sesiapa yang mereka cintai "

3- Anak-anak soleh menjadi sebutan dan idola sesama mereka.
Sabda Nabi SAW: "Siapa yang menyukai sesuatu maka dia akan banyak menyebutnya."

4- Anak-anak soleh menenangkan hati ibu bapa dan masyarakat.
Firman Allah: "Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kami daripada isteri-isteri kami dan anak-anak kami permata hati kami dan jadikan kami pemimpin kepada orang yang bertaqwa."

5- Anak-anak soleh menjadi aset berharga ibu bapa mereka di akhirat.
Sabda Nabi: "Apabila seseorang manusia meninggal dunia terputuslah seluruh amat ibadahnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya."

Proses melahirkan anak soleh sebenarnya bermula daripada sebelum perkahwinan lagi Proses pendidikan mengikut tahap-tahap itu ialah:


A- Memilih Pasangan
Ciri-ciri pasangan pilihan:

1. Beragama
§  Lihat dan selidik pengamalan syariat ayahnya dan datuknya terutama sembahyang.
§  Perhatikan akhlaknya bersama kawan-kawan, orang-orang tua.
§  Kaji amanah dan ketaatannya.

2. Bukan saudara atau keluarga dekat
§  Tidak digalakkan (makruh) berkahwin dengan keluarga yang dekat (sepupu misalnya) kerana melemahkan IQ anak.

3. Utamakan yang subur
§  Rasul berbangga dengan ramainya umat. Lihat bilangan ahli keluarganya untuk mengetahui kesuburannya.

4. Utamakan gadis

5. Pertunangan
§  Singkatkan tempoh pertunangan.
§  Bersungguh-sungguh memelihara syariat dalam tempoh pertunangan.
§  Pastikan ada muhram dalam setiap pertemuan.
§  Tidak bergaul bebas atau melakukan maksiat semasa bertunang.


B- Perkahwinan

1. Niat berkahwin hendaklah dibetulkan agar sesuai dengan syariat.
Antara niat-niat yang betul:
§  Berkahwin kerana hendak menegakkan sunnah Rasululullah SAW.
§  Berkahwin kerana hendak menggembirakan baginda SAW.
§  Untuk mendapat zuriat yang banyak dan soleh. solehah.
§  Ingin mendidik anak yang ramai supaya menjadi pejuang Islam yang berjaya membina empayar.

2. Akad nikah
§  Pastikan kesohehan wali (yang benar-benar layak).
§  Carilah saksi-saksi yang benar-benar adil.
§  Minta kebenaran persetujuan pengantin perempuan sebelum bernikah.
§  Mahar yang rendah dan tidak menyusahkan bakal suami.

3. Walimah/Kenduri kahwin
Betulkan niat dan tujuan iaitu:
§  Semata-mata untuk menghebahkan perkahwinan agar diketahui umum.
§  Mendapat doa dari yang hadir.
§  Majlis perkahwinan hendaklah:
§  Tiada percampuran bebas lelaki dan wanita.
§  Tiada makanan yang diharamkan.
§  Tiada hiburan yang melalaikan. Gantikan dengan nasyid pembangun jiwa.
§  Tiada pendedahan aurat pengantin dan pelanggaran syariat.

C- Sewaktu hubungan suami isteri
Hendaklah menjaga adab-adabnya seperti:
§  Pasang niat untuk mendapat yang soleh/solehah.
§  Menggunakan selimut. Kedua-duanya hendaklah berdoa seperti berikut: Ertinya:Ya Allah, jauhkanlah kami dari gangguan syaitan, dan jauhkanlah syaitan daripada apa yang Engkau rezeki kan (anak) kepada kami. "

D- Pergaulan suami isteri
Pergaulan suami-isteri juga hendaklah dijaga agar benar-benar dalam keadaan yang diredhai Allah antaranya:
1.    Perbualan mereka adalah:
§  Mengenai Allah dan Rasul
§  Iman dan Islam
§  Pendidikan anak-anak
§  Perjuangan Islam dan lain-lain
1.    Sikap dan perbuatan:
§  Berkasih sayang
§  Bertanggung jawab
§  Bertolak ansur
§  Bekerjasama
§  Hormat-menghormati
§  Meminta maaf ketika bersalah
§  Memaafkan ketika pasangannya bersalah
§  Menerima pasangan dengan seadanya
§  Redha-meredhai
§  Memberi hadiah jika mampu
§  Doa-mendoakan
§  Hibur-menghiburkan

Sebenarnya semasa janin membesar lebih-lebih selepas kandungan berusia enam bulan, ia adalah makhluk yang cergas dan mampu mengesan berbaga perkara, antaranya:

a) Janin boleh melihat, mendengar dan belajar di dalam kandungan.
b) Janin dapat maklumat secara terus dari ibunya perasaan gelisah, kebimbangan yang sukar diatasi sudah memberi kesan buruk kepada peribadi bayi sebelum lahir. Sebaliknya perasaan seperti riang gembira dan pengharapan memberi satu galakan dalam perkembangan emosi yang sehat bagi bayi itu.
c) Perasaan bapa (suami) kepada ibu (isteri) dan anak yang dikandungnya juga adalah di antara faktor terpenting yang menjamin kejayaan dan kesempurnaan kandungan dalam rahim.

Berdasarkan sensitifnya perasaan janin itu, para ibu bapa perlulah:
i) Mengambil berat soal-soal kebaikan dan dalam masa yang sama menjauhi keburukan.
ii) Yang paling utama, si ibu hendaklah selalu bersangka baik dengan Allah. Untuk itu berdoalah kepada Allah agar anak yang sedang dikandung itu menjadi anak soleh, berilmu, beramal dan bertaqwa
iii) Banyakkan membaca Al Quran dan menghayati isinya terutama Surah At Taubah, Surah Maryam, Surah Yusuf dan Surah Luqman
iv) Surah-surah itu sebaik-baiknya dibaca di waktu lepas sembahyang Subuh dan sebelum tidur
v) Bacalah di samping mengharapkan anak yang dikandung itu selamat dan mudah dilahirkan
vi) Membaca dan menghayati kisah-kisah orang soleh zaman dahulu.

Secara ringkas, seorang ibu yang sedang mengandung itu hendaklah menjaga:
·         Penglihatan
·         Pendengaran
·         Percakapan
·         Makan minum
·         Sikap
·         Selepas Bayi Dilahirkan


Dalam menyambut kelahiran sebaik-baiknya hendaklah:

·         Melahirkan bayi di klinik orang Islam yang mementingkan syariat.

·         Disambut dengan azan dan iqamah.


·         Diadakan aqiqah dan diberi nama yang baik (sunat dilakukan pada hari ketujuh)

·         Diazankan
Hendaklah diazankan di telinga kanannya dan diiqamatkan di telinga kirinya bagi kanak-kanak lelaki. Bagi kanak-kanak perempuan hendaklah diiqamatkan di kedua-dua telinganya. Ibnu Abbas r.a. ada menceritakan: Bahawa Nabi SAW mengazan di telinga (kanan) Hasan pada hari dia dilahirkan dan iqamah di telinga kirinya.

·         Mendoakannya
Setelah diazankan, iringi dengan doa agar anak itu beroleh berkat. Sebaik-baik doa ialah doa yang pernah didoakan oleh Rasulullah: "Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala syaitan dan gangguannya dan setiap penggoda yang jahat" (Riwayat al Bukhari)

·         Mentahnik
Untuk lebih berkat lagi hendaklah dipanggil seorang yang soleh lagi bertaqwa agar diusapkan jarinya di langit-langit mulut bayi itu dengan benda manis. Aisyah r.a menceritakan: "Bahawa Rasulullah SAW apabila dibawakan kepadanya bayi-bayi, maka didoakan keberkatan mereka dan diusap langit-langit mulut mereka." (Riwayat Muslim) Ini adalah didikan awal yang amat berkesan. Mereka sejak dari kecil lagi telah diperkenalkan dengan Allah dan Rasul-Nya melalui azan dan iqamat. Doa yang dibacakan itu juga adalah sebagai pendidikan secara tidak langsung. Doa sebagai pengharapan ibu bapa kepada Tuhan agar Dia mendidik dan memelihara anaknya itu menjadi anak yang soleh. Doa juga sebagai latihan awal ke arah menjadi hamba yang tawadhuk. Seorang hamba yang baik sentiasa merendah diri dan merasa hina di hadapan Allah. Mereka merasa lemah dan berdosa terhadap Allah, lalu dengan itu doa selalu dipanjatkan. Perasaan begini akan berkesan kepada jiwa anak itu, semoga mereka menjadi baik akhlaknya.

·         Kewajipan pada hari ketujuh
Apabila bayi itu memasuki umur tujuh hari maka disunatkan kepada ibu bapa supaya:

Mengaqiqahkan untuk anaknya. Anak lelaki - dua ekor kambing atau 2/10 bahagian lembu. Anak perempuan - seekor kambing atau 1/10 bahagian lembu. 

Mencukur rambutnya Pada hari itu juga disunatkan mencukur rambut anak itu keseluruhannya, sama ada anak itu lelaki mahupun perempuan. Sabda Rasulullah SAW: "Setiap anak itu dilahirkan tergadai sehinggalah disembelihkan aqiqahnya pada hari yang ketujuh selepas kelahirannya, dicukur rambut dan diberikan nama yang baik untuknya." (Riwayat Abu Daud) Rambut yang dicukur itu hendaklah ditimbang dan berat rambut itu dinilai dengan berat emas. Nilaian emas itu disedekahkan kepada golongan yang memerlukan. 

Memberi nama kepada anak Menurut Hadis di atas, pada hari itu barulah diisytiharkan nama kepada anak itu. Nama yang dipilih hendaklah nama yang elok. ia bukan sekadar sedap disebut dan didengar tetapi juga mempunyai erti yang baik. Pilihan nama yang baik adalah merupakan satu pengharapan dan doa ibu bapa agar anaknya menjadi sebaik nama yang diberi itu. 

Rasulullah ada memberi panduan "Berikanlah nama anak kamu dengan nama nabi-nabi, sungguhpun begitu mama yang paling disukai Allah ialah nama Abdullah dan Abdul Rahman, manakala nama yang paling sesuai lagi elok ialah Haris dan Hammam." (Riwayat Abu Daud dan Masai)
Nama yang kita pilih itu hendaklah disertakan dengan niat agar anak kita itu menjadi seperti peribadi Sahabat atau salafussoleh yang memiliki nama tersebut tradisi memilih nama yang berunsur Barat atau hasil gabungan nama ibu dan ayah sepatutnya tidak diulangi lagi. Umat Islam mempunyai nama yang tersendiri. 

Kewajipan memberi makanan yang bersih Makanan yang dimakan akan mempengaruhi hati makanan yang halal akan menjadikan seseorang itu baik. dan sebaliknya makanan yang haram akan menggelapkan hati dan membentuk seseorang menjadi jahat. Oleh kerana itu pemakanan anak anak hendaklah diawasi sedari kecil lagi agar mereka tidak memakan makanan yang haram atau syubahat. Makanan haram yang dimaksudkan di sini meliputi segala makanan yang diharamkan oleh Allah atau makanan yang dibeli dengan uang yang haram. Bagi ibu yang menyusukan anak hendaklah menjaga makanannya kerana terbentuknya susu itu berpunca daripada makanan yang ibu makan setiap hari.Seandainya susu ibu terbentuk dari bahan yang haram, ia akan memberi kesan kepada anak. Tempoh masa untuk menyusukan bayi sehingga umurnya mencapai dua tahun. Ertinya, paling lama seorang anak itu menyusu ialah selama dua tahun Selepas dua tahun bolehlah ibu itu menghentikan susuan untuknya. Ketika menyusu, anak paling hampir dengan ibunya; bayi itu dididik secara tidak langsung di 'sekolah ibu' dan sudah pasti banyak ilmu yang bayi itu perolehi seperti ilmu kasih sayang, latihan bercakap dan sebagainya. Setiap bayi yang dilahirkan ibarat kain putih, suci bersih. Mereka belum lagi dicorakkan dengan apa-apa corak. Oleh itu ibu bapa perlu menyiapkan diri dan bersedia menjadi pendidik. Mereka mestilah memahami tahap-tahap perkembangan kanak-kanak. Tahap yang paling penting ialah di peringkat lahir hingga 2 tahun dan peringkat 3 tahun hingga 6 tahun. Beri sepenuh kasih sayang kepadanya dan zahirkan kasih sayang itu dengan cara memeluk, mencium, membelai dan sebagainya. Jaga pendengarnya daripada muzik-muzik yang melalaikan atau lagu-lagu yang sia-sia, sebaliknya alunkan nasyid, tahlil, selawat dan zikir ketika mendodoinya. Mendidik di tahap-tahap ini tidak boleh dipandang remeh, malah menurut kata Imam Al Ghazali:

"Kaedah untuk melatih kanak-kanak adalah salah satu dari hal-hal yang amat penting . Dan anak merupakan amanat yang dipercayakan kepada ibu bapanya. Hatinya yang masih murni itu merupakan permata yang amat berharga, sederhana, dan bersih dari ukiran dan gambaran apa pun. Ia dapat menerima setiap ukiran yang digoreskan padanya, dia akan condong ke arah mana dia kita condongkan. "
Oleh sebab itu, apabila dia kita biasakan dan ajarkan dengan yang baik nescaya dia akan memperoleh kebahagian dunia dan Akhirat, manakala ibu bapanya, gurunya dan pendidiknya pun akan turut berbahagia pula bersamanya. Sebaliknya, apabila dia kita biasakan dengan sifat yang buruk dan dibiarkan begitu saja, maka dia akan celaka dan binasa. Dan semua tanggungjawab dalam hal itu terletak pada pundak pengasuhnya dan walinya. Kata Imam Ghazali lagi:

"Walinya berkewajipan: • menjaga anak tersebut dari segala dosa • mendidik dan mengajarnya dengan budi pekerti yang luhur • menjaganya agar tidak bergaul dengan kawa n yang nakal janganlah sampai merosakkannya dengan kesenangan janganlah mendorongnya untuk mencintai perhiasan yang serba indah dan barang mewah, ini akan menyebabkan dia setelah dewasa kelak akan menghabiskan umurnya untuk mencari kesenangan dan kemewahan itu semata-mata "

PANDUAN PENDIDIKAN ISLAM 2 - PENDIDIKAN PRA-SEKOLAH DALAM ISLAM (4 - 6 tahun)
http://akademirasulullah.blogspot.my/2017/05/panduan-pendidikan-islam-2-pendidikan.html

PANDUAN PENDIDIKAN ISLAM 3 - PANDUAN MENDIDIK ANAK 7 HINGGA 9 TAHUN
http://akademirasulullah.blogspot.my/2017/05/panduan-pendidikan-islam-3-panduan.html

PANDUAN PENDIDIKAN ISLAM 4 - PANDUAN MENDIDIK ANAK 10 HINGGA 12 TAHUN
http://akademirasulullah.blogspot.my/2017/05/panduan-pendidikan-islam-4-panduan.html

PANDUAN PENDIDIKAN ISLAM 5 - PANDUAN MENDIDIK ANAK REMAJA (13 – 18 tahun)
http://akademirasulullah.blogspot.my/2017/05/panduan-pendidikan-islam-5-panduan.html






No comments:

Post a Comment